Tuesday, November 2, 2010

Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)


Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)

Sistem pendidikan di Malaysia adalah berorentasikan peperiksaan iaitu pelajar wajib menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lazimnya digunakan ialah kaedah kuliah iaitu pembelajaran berpusatkan guru. Hasil dari pembelajaran kaedah pengajaran secara kuliah didapati masih terdapat kelemahan dalam melahirkan graduan yang menguasai kemahiran generik walaupun pencapaian akademik yang terbaik (Hisyamudin dan Rahiraf, 2005). Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dalam kenyataan akhbar, menyatakan bahawa beliau mahu melihat perubahan dalam corak pendidikan  agar melahirkan pelajar yang berani, mempunyai kemahiran dan pegetahuan (Hisyamudin dan Rahifa, 2005).

Oleh hal yang demikian, para pendidik perlu mengorak langkah bagi membaiki dan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) supaya ianya seiring dengan teknologi terkini dan perkembangan semasa. Sudah menjadi tanggungjawab para pendidik untuk menggunakan dan mempelbagaikan kaedah P&P bagi melahirkan pelajar yang berkualiti. Antara kaedah P&P yang diguna pakai ialah Pembelajaran Berasaskan Masalah(PBL) yang merupakan salah satu contoh yang baik untuk proses pembelajaran secara pengalaman dan pendekatan berpusatkan pelajar. Di dalam kaedah PBL, pelajar akan berusaha untuk mencari maklumat dan penyelesaian masalah dengan usaha sendiri. Proses tersebut akan menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif. Diperkukuhkan lagi apabila Lynda Wee (2004) menyatakan bahawa PBL adalah salah satu pendekatan pemusatan pelajar yang merupakan pendekatan yang efektif dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, menggalakkan penglibatan aktif, bekerjasama, maklum balas yang cepat terhadap proses pembelajaran, pemahaman yang mendalam terhadap subjek dan merujuk kesesuaian pembelajaran melalui pembelajaran kendiri.

Perlaksanaan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL)

Menurut Lynda Wee (2004), terdapat tujuh langkah dalam menerangkan proses PBL. Langkah-langkah tersebut ialah seperti berikut:
a)        Pembahagain Kumpulan
Pada peringkat ini, pelajar akan mengenali di antara satu sama lain dan pelajar akan membentuk kumpulan masing-masing. Seterusnya, ketua kumpulan dan pencatat akan dilantik dan peraturan-peraturan kumpulan akan dibentuk.

b)        Mengenalpasti Masalah
Pelajar akan dikemukakan dengan masalah untuk diselesaikan. Pelajar perlu mengenalpasti   dan mengesahkan masalah tersebut dan menyatakan masalah tersebut berdasarkan fakta-fakta yang diperolehi. Proses mengenalpasti masalah melibatkan elemen-elemen pencetus idea terhadap masalah yang ingin dikaji, juga dikenali sebagai trigger. Trigger boleh didapati dalam bentuk gambar, peti surat khabar, klip video, petikan jurnal dan juga kejadian sebenar yang berlaku.

c)        Menjana Idea
          Pada peringkat ini, pelajar akan mengeluarkan idea-idea yang dapat membantu dalam proses penyelesaian masalah tersebut.

d)        Isu Pembelajaran
           Pelajar perlu mengenalpasti apakah yang perlu dipelajari dan mencari isu-isu yang dapat membantu mereka untuk menyelesaikan masalah serta mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan menegnalpasti tindakan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang diberikan.

e)        Pembelajaran Kendiri.
          Pada peringkat ini, perlu disahkan kesahihanya, terutamanya daripada Internet. Pelajar akan mulaberkongsi maklumat dengan pelajar yang lain dan mengaplikasikan maklumat yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan berbincang, membangunkan penyelesaian dan menbuat penerangan terhadap penyelsaian yang diambil.

f)         Sintesis dan Aplikasi.
           Punca-punca maklumat perlu disahkan kesahihannya terutamanya daripada Internet. Pelajara akan mula berkongsi maklumat dengan pelajar yang lain dan mengaplikasikan maklumat yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Seterusnya, pelajar akan berbincang, membangunkan penyelesaian dan membuat peneraangan terhadap penyelesaian yang diambil.

g)        Refleksi dan Tindak Balas.
          Pada peringkat ini, pelajar akan memberi tindak balas terhadap kerja kumpulan, kerja individu, penjanaan pengetahuan, penyelesaianmasalah dan juga peranan fasilitator. Seterusnya, perbincangan akan dilakaukan dalam kumpulan masing-masing.

Proses Menyelesaikan Masalah

Menurut George Polya (1957), sesuatu masalah boleh diselesaikan melalui empat langkah penyelesaian iaitu:
a)       Memahami masalah iaitu menentukan apa yang hendak diselesaikan dan maklumat yang berkaitan denganya.

b)      Menyediakan rancangan penyelesaian iaitu mencari perkaitan antara maklumat yang diberi dengan penyelesaian.

c)        Melaksanakan rancangan iaitu melaksanakan apa yang dirancang dengan teliti, langkah demi langkah.

d)        Menyemak jawapan iaitu menyemak ketepatan dan kesesuain hasil penyelesaian dengan apa yang diselesaikan. (Widad Othman, et al, 2003).

Kelebihan PBL

Menurut Montgomery (2000), antara kelebihan utama PBL berbanding strategi pembelajaran lain yang dicadangkan pleh kategori kontruktivisme ialah ransangan atau stimulasi yang berjaya dihasilkan olehnya dalam membentuk kognitif pelajar agar lebih bersifat ingin tahu. Ini seterusnya menurut mereka berjaya meningkatkan minat atau motivasi pelajar untuk terus belajar. Masalah yang menyerupai masalah dunia sebenar pula membolehkan pelajar mencuba pelbagai jalan penyelesaian dalam persekitaran pembelajaran yang lebih selamat.

Secara amnya, jelas membuktikan bahawa Pembelajaran Berdasarkan Masalah (PBL) mampu untuk melahirkan dan mendidik pelajar menjadi seorang pemimpin yang mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah. Selain itu, pelajar dapat meningkatkan minat dan motivasi untuk terus belajar, membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Oleh hal yang demikian, pelajar dapat meningkatkan pemahaman dan pengetahuan isi pelajaran bagi sesuatu matapelajaran pelajar tersebut.

Kesimpulan

Tuntasnya, kaedah PBL banyak menekankan dan menitikberatkan cara palajar menganalisis masalah dan penyelesaiannya. Kemahiran ini adalah penting bagi melahirkan dan mendidik bakal-bakal pemimpin yang bertanggungjawab dan berkeyakinan dalam menyelesaikan masalah dan mampu untuk membuat keputusan yang tepat dan adil. Secara amnya, kaedah PBL boleh dijadikan salah satu pendekatan dan latihan yang berkesan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang menpunyai jati diri yang kuat, berwawasan tinggi, mengamalkan cara komunikasi yang betul, dan kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan tepat. Ciri-ciri tersebut merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pemimpin yang disenangi dan disukai oleh pengikut-pengikutnya. Oleh hal yang demikian, orang-orang yangbdipimpin akan lebih menghormati dan berasa selamat di bawaah jagaannya.



No comments:

Post a Comment